Archive for the ‘SEJARAH KEDAH’ Category

NEGERI ASAL RAJA-RAJA KEDAH

Januari 4, 2009

GOMRUN, ZAMIN TURAN
DAN LANGKASUKA:
(Kaitannya dengan Kedah Tua)

Oleh: DR. IBRAHIM BAKAR LANGKAWI

GOMRUN: Kedengaran sedikit pelik dan tidak biasa kita mendengarnya kerana nama ini bukanlah dari kalangan perkataan bahasa kita. Perkataan ini mula-mula sekali telah dikemukakan ke dalam persada pengetahuan kita oleh Muhammad Hassan bin Dato Kerani Muhammad Arsyad dalam tahun 1927, dalam penulisannya ‘At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman’. Penulisan Muhammad Hassan ini dianggap ‘monumental’ oleh masyarakat Kedah khasnya, dan Malaysia amnya.

Antara yang diceritakan (dalam edisi Jawi) oleh Muhammad Hassan ialah:

‘Al-kesah maka tersebutlah seorang Maharaja negeri Gomrun di dalam Tanah Parsi. Bermula kata yang empunya cetera ini, adalah seorang Maharaja Parsi yang terlebih kuasa daripada Maharaja negeri Gomrun datang menakluk negeri Gomrun itu. Maka akhirnya tewaslah negeri Gomrun, dan Maharaja Gomrun pun keluar bersembunyi diri dengan sebuah babur bersama-sama anak isterinya dan orang-orang yang bersetia dengannya. Ada pun nama Raja Gomrun itu Maharaja Darbar Raja’.

Memang kedengaran cerita Muhammad Hassan ini seperti sebuah dongeng dahulu kala, di mana nama-nama tempat yang dinyatakan tidak biasa didengar oleh kita di Kedah ini. Namun, perlu kita ingat bahawa Muhammad Hassan adalah seorang yang terlalu dekat dengan istana Kedah. Maka, sumber penulisannya adalah dari simpanan catatan lama kerajaan Kedah. Ini menjadikan penulisan Muhammad Hassan layak dipegang kesahihannya.

Dalam edisi asalnya dalam tulisan Jawi keluaran tahun 1927 itu, Muhammad Hassan telah mengeja nama NEGERI GOMRUN yang diketahuinya sebagai GA + WAU + MIM + RA + WAU + NUN,  iaitu ﮔﻮﻤﺮﻮﻦ.

Namun, dalam edisi yang telah di-Rumi-kan dalam tahun 1968, yang telah diselenggarakan oleh Mohd Zahid bin Mohd Shah, perkataan nama negeri itu telah dieja sebagai ‘GUMARUN’.   Penyelenggara ini tentulah mengalami kesukaran juga dalam men-tranliterasi perkataan dari Jawi kepada Rumi, terutama bagi perkataan nama yang tidak pernah didengar atau diketahuinya. Dengan itu muncullah perkataan yang telah sedikit terseleweng daripada perkataan asalnya.

Seperti yang telah dikemukakan di atas, bahawa nama sebenar negeri ini, seperti yang ditulis oleh Muhammad Hassan dalam edisi asalnya, ialah Gomrun. Inilah ejaannya yang tepat, bukan Gumarun, seperti yang terdapat dalam At-Tarikh Salasilah edisi Rumi. Nama negeri Gomrun ini memang sebenarnya wujud dalam Empayar Parsi. Oleh itu tidak timbul langsung bahawa pengarang Muhammad Hassan hanya mereka-reka ceritanya. Muhammad Hassan tentulah tidak mengarang cerita fiksyen untuk tatapan generasi sesudahnya. Beliau hanya menceritakan segala yang benar belaka, setakat yang diketahui olehnya, menurut rujukan yang telah dilakukannya, dari sumber-sumber yang dapat dibaca olehnya pada masa itu.

Orang Parsi sendiri menyebut nama negeri ini sebagai GOMBRUN. Manakala dalam bahasa Inggeris, nama negeri ini telah dieja sebagai ‘GOMBROON’. Seorang professor sejarah ekonomi Asia dari University of London, iaitu K.N. Chaudhuri (1985), telah menyebut nama negeri ini sebanyak 14 kali dalam buku hasil kajiannya bertajuk ‘Trade And Civilisation In The Indian Ocean: An Economic History from the Rise of Islam to 1750’.  Dan banyak lagi sumber penulisan Barat antara abad ke-16 hingga 17 telah menceritakan tentang negeri yang dinamakan Gombroon tersebut.

Namun, pada masa ini di negara Iran / Parsi sendiri nama Gomrun atau Gombrun ini sudah tidak dikenali lagi oleh orang ramai. Ia hanya diketahui oleh ahli-ahli sejarah Parsi kerana nama ini sudah lama ditinggalkan. Semenjak tahun 1615, nama tempat ini telah diubah menjadi ‘BANDAR ABBAS’.  Orang Iran menyebutnya “Bander-e ‘Abbas”. Dalam bahasa Parsi, ‘bandar’ bererti ‘pelabuhan’ (port).

Menurut sumber sejarah Iran, daerah yang berpusat di Bandar Abbas atau Gombrun ini telah lama dibuka dan dihuni oleh penduduk. Kawasan ini bukanlah suatu tempat yang terpencil, malah kedudukannya sangat strategik dalam berbagai aspek, seperti ekonomi dan ketenteraan. Rekod sejarah berkaitan kawasan / negeri ini telah dapat dikesan seawal zaman pemerintahan Maharaja Darius Agung (dari Dinasti Achaemenes), yang memerintah Empayar Parsi antara tahun 586 hingga 522 Sebelum Masihi. Didapati ada catatan yang menceritakan tentang seorang panglima tentera Parsi, bernama Silakos, telah bertolak dari pelabuhan di kawasan ini, untuk belayar ke benua India dan juga ke Laut Merah. Ini menunjukkan bahawa Negeri Gombrun ini adalah sebuah negeri yang sangat tua.

Di hadapan negeri Gomrun atau Bandar Abbas ini, kira-kira 4 batu ketengah laut Teluk Parsi, terdapat sebuah pulau yang sederhana besar, dikenali pada zaman silam sebagai PULAU JERUN.  Kini pulau ini dikenali sebagai PULAU HORMUZ, kerana di sini pernah berdiri sebuah bandar pusat perdagangan penting, dalam abad ke-16-18, yang dikenali ramai sebagai Bandar Hormuz, yang telah dikembangkan oleh orang-orang Portugis. Orang Portugis telah berjaya merampas pulau ini dalam bulan September tahun 1507, di bawah pinpinan Alfonso d’Albuquerque. Semenjak itu mereka telah menguasai kawasan ini, termasuk negeri Gomrun, yang juga dikembangkan sebagai sebuah pelabuhan penting untuk mengangkut bahan-bahan keperluan dari tanah daratan Parsi. Berikutnya, mereka telah membina kota pertahanan di kedua-dua tempat, iaitu di pulau dan di daratan. Dalam catatan-catatan lama orang Portugis, nama Hormuz telah ditulis oleh mereka sebagai ‘ORMUS’, manakala negeri Gomrun disebut oleh mereka sebagai ‘GAMRU’.

Kawasan selat ini sentiasa dikenali oleh orang luar sebagai Hormuz, mengikut nama bandar yang semakin terkenal di Pulau Jerun itu. Dengan itu, selat yang memisahkan Tanah Parsi dengan Tanah Arab ini juga dikenali ramai, terutama oleh pelayar-pelayar Barat sebagai Selat Hormuz. Sebenarnya, negeri ini terletak di kawasan yang paling strategik sekali di Teluk Parsi, iaitu di selat yang paling sempit sekali, yang  memisahkan Tanah Arab dengan Tanah Parsi hanya sejauh kira-kira 40 kilometer sahaja. Selain dari Pulau Jerun / Hormuz, berdekatan dengan selat sempit ini terdapat beberapa buah pulau lain, yang paling besar ialah Pulau Keshm.

Oleh kerana bandar Hormuz menjadi semakin terkenal, maka keseluruhan wilayah yang meliputi kawasan selat ini, termasuk beberapa bandar lain selain Gombrun (Bandar Abbas), termasuk pula pesisir pantai yang panjang dan kawasan tanah perbukitannya, dikenali sebagai wilayah Hormuz pula. Hingga pada masa sekarang, wilayah yang merupakan sebagai salah sebuah wilayah (province) yang membentuk Negara Iran ini, dikenali sebagai Astan Hormozgan (Hormozgan Province), dengan Bandar Abbas sebagai ibukotanya.

Bandar Hormus (Ormus) yang dikembangkan oleh orang Portugis di Pulau Jerun itu bukanlah bandar yang paling awal dinamakan seperti itu. Bandar Hormuz di pulau ini boleh dikatakan suatu penempatan ‘baru’. Sebenarnya terdapat catatan-catatan lama tentang nama tempat bernama Homuz di kawasan ini, iaitu di kawasan daratan tanah besar Parsi sekitar tempat ini.

Seorang pelayar bernama Nearchus (325 Sebelum Masihi) pernah mencatatkan bahawa ia pernah singgah di pesisir pantai ‘Hormiza’, berdekatan dengan sungai ‘Anamis’, iaitu dalam negeri yang bernama ‘Carmania’.  Nearchus telah menamakan Pulau Jerun / Hormuz sebagai ‘Organa’.

Berikutnya, apabila tentera Greek Macedonia di bawah pimpinan Iskandar Agung menyerang dan mengalahkan Empayar Parsi, terdapat pula catatan mengenai kawasan ini. Menurut rekod dari zaman tersebut, kawasan ini disebut sebagai ‘Hormirzad’. Menurut catatan sejarah, kawasan ini telah berkembang pesat antara 241 hingga 211 Sebelum Masihi.

Wilayah Hormuz yang meliputi negeri Gombrun itu sentiasa bertukar ganti pemerintah atasannya, mengikut pergantian dinasti yang menguasai Empayar Parsi keseluruhannya. Semenjak tahun 224 Masihi, Parsi telah dikuasai oleh Bani Sassan. Sebab itu sesetengah ahli sejarah mengatakan Parsi pada masa itu sebagai EMPAYAR SASSAN (Sassanid Empire [224-651 Masihi]). Namun, orang Parsi sendiri tidak menamakan negeri mereka sebagai Sassan, sebaliknya menyebutnya sebagai ‘Eranshahr’, yang bererti ‘Negeri orang-orang Iran [Aryan]’ (Dominion of the Iranians [Aryans]).

Semenjak zaman purba, orang-orang Parsi menganggap mereka menghuni di dalam kawasan yang sangat besar, meliputi kawasan yang lebih besar dari negera sekarang ini, yang dinamakan mereka sebagai IRAN-ZAMIN, bermaksud ‘Tanah bangsa Iran’ (The Land of Iran). Menurut hikayat-hikayat purba Parsi, rakyat Iran itu sering bertentangan dengan suku-suku dari kawasan Asia Tengah, yang digelar oleh mereka sebagai TURAN-ZAMIN, yang bermaksud ‘Tanah bangsa Turan’ (The Land of Turan).

Dalam bahasa Hindi, perkataan ‘zamin’ atau ‘zameen’ juga membawa maksud ‘tanah’,  seperti bahasa Parsi juga; mungkin kerana kedua bahasa ini mempunyai akar yang sama.

Adalah sangat menarik perhatian apabila kita dapat melihat bahawa perkataan ‘ZAMIN TURAN’ juga adalah nama yang diberikan oleh pengarang Hikayat Merong Mahawangsa sebagai nama negeri Kedah.

Kata pengarang tersebut:

“Maka titah Raja Merong Mahawangsa, ‘Jika demikian hendaklah kita namakan negeri ini Negeri Kedah ZAMIN TURAN sebutannya.’ Serta titahnya, ‘Hai anakku Raja Merong Mahapudisat, jikalau anakku beroleh anak pada zaman ini, hendaklah anakku rajakan akan dia seorang sebelah utara baratlaut, seorang sebelah selatan timur menenggara daripada negeri Kedah ini, dan seorang sebelah matahari naik antara timurlaut.”

Dalam konteks sejarah-budaya Parsi, perkataan ‘Turan’ ini sentiasa berubah makna. Ia digunakan untuk menyatakan nama ‘suku bangsa’ dan juga untuk nama ‘tempat’. Menurut kitab purba Parsi, iaitu ‘Shahnameh’, Eran atau Iran adalah tempat tinggal bangsa Arya, manakala Turan adalah tempat tinggal bangsa Tur. Menurut kisah hikayat itu lagi, bangsa Iran dan Turan asalnya adalah satu. Pada mulanya terdapat seorang Raja besar bernama Firaydun (Firedun), yang mempunyai 3 orang putera. Putera sulungnya Salim diserahkan kuasa untuk menjaga kawasan Asia Kecil di sebelah barat, putera tengahnya bernama Tur dititahkan untuk menjaga Asia Tengah / Kushan, termasuk India, dan yang bungsu bernama Eraj disuruh menjaga Iran. Dengan kerana perselisihan, akhirnya Eraj telah menguasai keseluruhan kawasan-kawasan tadi.

Dalam abad ke-6, apabila bangsa Turk menguasai Asia Tengah, maka mereka digelarkan sebagai Bangsa Turan (The Turanians). Dengan itu, pemahaman tentang ‘Turan’ ini telah mula bercelaru.

Pada zaman Islam telah menguasai bumi Parsi, bangsa Turk memang telah disamakan dengan ‘bangsa Turan’, walau pun perkara ini tidak dipersetujui oleh ramai ahli bahasa dan sejarah. Malah, dalam zaman yang lebih akhir, iaitu zaman dinasti Safawiyah, bangsa Uzbek yang sering bertelingkah dengan negara Parsi telah dianggap sebagai bangsa Turan juga, mungkin kerana terpengaruh dengan pemisahan bangsa yang dinyatakan oleh hikayat purba mereka, Shahnameh.

Orang Parsi, yang juga menganggap mereka adalah keturunan Aryan (Iran), juga mengamalkan nilai-nilai KASTA dalam kehidupan harian, seperti juga orang India. Kebanyakan rakyat berfahaman Zoroasterianism (penyembah api), walau pun terdapat juga pengamal agama lain dalam empayar Sassan itu, seperti Hindu dan Buddha. Kehidupan mereka berada dalam 4 kasta utama, iaitu Aturban (golongan pendeta / priests), Arteshtar (golongan pahlawan / warriors), DABIR (golongan pentadbir / secretaries) dan Vasteryosh-Hootkesh (golongan rakyat kebanyakan / commoners). Selain itu terdapat pula golongan anak-anak raja, pembesar dan penguasa daerah, dan golongan pendeta yang termasuk dalam kumpulan yang digelar sebagai Bozorg (bangsawan). Semua mereka hendaklah tunduk kepada Shahanshah, iaitu Maharaja. Terdapat pula golongan paling bawah yang dikenali sebagai golongan Azad / Azat (merdeka), yang sentiasa menganggap mereka adalah golongan asal bangsa Aryan, iaitu keturunan yang pernah datang pada zaman silam menakluki bumi Iran.

Empayar Sassan adalah sebuah empayar yang sangat besar, yang meliputi ke sebelah barat hingga ke Mesir dan semenanjung Arab, ke timur hingga ke India dan ke utara hingga ke wilayah Rusia. Sebab itu zaman kegemilangannya boleh dikatakan sebagai zaman kegemilangan bangsa Parsi keseluruhannya, dalam berbagai aspek. Sebelum kalah di tangan orang Islam, inilah masa pencapaian tertinggi bangsa Iran.

Namun, disebalik kekuatan tentera Parsi itu, mereka tidak berupaya menahan kemasukan kepercayaan agam Islam di kalangan masyarakat. Tentera Islam telah mengasak Parsi mulai tahun 633 Masihi. Akhirnya Maharaja Parsi pada masa itu, iaitu Yazdigerd III (632-651) telah lari dan akhirnya terbunuh dalam tahun 651 Masihi di Merv, dalam Turkmenistan sekarang.

Pada masa inilah ramai rakyat Parsi yang belum mahu menerima Islam telah keluar beramai-ramai mencari tempat bagi memulakan kehidupan baru. Ini termasuklah golongan pembesar dan penguasa-penguasa atau raja-raja di daerah. Ada yang melalui jalan darat hingga ke negeri China, dan ada pula yang melalui jalan laut, ke arah India, malah hingga ke kepulauan Melayu. Putera Maharaja Yazdigerd, bernama Pirooz telah lari bersama ramai pembesar-pembesar mereka untuk mendapatkan suaka politik di negeri China.

Berikutnya, negeri Parsi telah jatuh sepenuhnya ke tangan orang Islam. Apabila keadaan menjadi semakin stabil dan aman, maka kemajuan yang lebih pesat telah dapat dicapai oleh orang Parsi, baik yang telah memeluk Islam atau pun yang belum, yang diistilahkan sebagai Zimmi, bersama-sama memajukan negara baru.

Wilayah Hormuz, termasuk juga kawasan negeri Gomrun telah bertambah maju dari segi perdagangan dan pusat kewangan setelah berada di bawah kekuasaan kerajaan Islam.

Suatu catatan telah dibuat oleh Jesuit Teixeira, sekitar tahun 1100 Masihi, bahawa pada masa itu ada seorang raja bangsa Arab bernama Shah Muhammad ‘Dirhem-Kub’ (Pembuat Dirham), dari dinasti yang tidak berapa terkenal (petty dynasty of kings), dikenali sebagai Dinasti TURAN Shah, telah berpindah dari Tanah Arab melintasi Selat Hormuz untuk tinggal membuat negeri di Tanah Parsi. Antara keturunannya ialah yang bernama Ruknuddin Mahmud, iaitu keturunan yang ke-12, yang memerintah dalam tahun 1246 Masihi. Raja-raja kecil ini dipercayai berada di bawah naungan Raja-Raja Atabegs Parsi yang lebih berkuasa. Dalam sekitar tahun 1300 Masihi, tekanan orang-orang Tartar dengan tentera berkudanya semakin hebat di kawasan tanah Hormuz ini. Dengan itu raja-raja di sini bersama rakyatnya telah meninggalkan bandar-bandar mereka di tanah besar untuk berpindah ke Pulau Jerun (Pulau Hormuz).

Kemungkinan semenjak itulah kawasan Hormuz purba di tanah besar Parsi itu telah tenggelam dalam lipatan sejarah, sehingga ditemui semula dalam zaman moden ini oleh Colonel (Sir Lewis) Pelly. Runtuhan purba itu telah ditemui di sekitar Sungai Minab, dalam sekitar negeri Gomrun juga.

Berikutnya, sebuah perkampungan baru telah dibina di Pulau Jerun, terutama di kawasan tanah pamah yang agak luas berbentuk tiga segi, yang akhirnya berkembang menjadi pekan baru, yang dikenali sebagai Hormuz juga. Manakala, pelabuhan Gombrun di daratan tetap bertahan dan berfungsi.

Sebuah kompleks pengkalan (wharf / pier) istana juga telah dibina, dinamakan TURAN BAGH (bermakna: Taman TURAN), yang dipercayai mengambil sempena nama salah seorang raja dari dinasti yang memerintah. Tempat itu sekarang masih dapat dikesan, tetapi telah berubah nama menjadi ‘Trumpak’.

Antara tahun 1272 hingga 1293 Masihi, Marco Polo pernah melawat pelabuhan Gombrun (Bandar Abbas). Beliau telah menceritakan tentang hebatnya perdagangan permata Parsi, gading dan sutera Cina, dan mutiara dari Bahrain, yang diniagakan di pasar-pasar di pelabuhan Hormuz (di pulau).

Seorang pengembara, Odoric (c. 1320) telah menceritakan bandar baru di pulau tersebut sebagai Ormes, yang mempunyai kota yang yang teguh. Namun, IBNU BATTUTA, masih menceritakan tentang wujudnya bandar Homuz lama di daratan dan beliau menamakan bandar di pulau sebagai JERUN, iaitu mengikut nama pulau tersebut.

Dalam tahun 1497, orang-orang Eropah telah mula tiba di kawasan ini, dimulai oleh Vasco da Gama. Sejak itu berlumba-lumbalah orang Eropah datang merebut peluang perdagangan yang besar. Dalam tahun 1506, orang-orang Portugis dengan diketuai oleh Alfonso d’Albuquerque telah menyerang kawasan ini dengan 7 kapal perangnya, dengan alasan untuk menjaga kepentingan perdagangannya dengan Mesir dan Venice. Semenjak itu, orang Portugis telah membuat penempatan mereka di Pulau Hormuz, bagi mengawal perdagangan di kawasan sekitarnya.

Pada masa itu Empayar Parsi berada di bawah kekuasaan Shah Ismail (1501-1524) dari Dinasti Safawiyah (1501-1722). Namun, baginda telah gagal menghalang penaklukan Portugis tersebut. Menurut catatan Cesare de’ Federici, iaitu seorang pedagang dari Venice yang singgah di Hormuz dalam tahun 1565, raja yang memerintah Hormuz (pulau) pada masa itu ialah seorang ‘Moor’ (iaitu orang Islam), iaitu yang dipilih dan dipersetujui oleh Portugis (dipetik dari Hakluyt Society).

Orang Portugis telah membina bandar-kota mereka, yang dinamakan GAMRU (iaitu sebutan Portugis bagi Gombrun) dan juga kota pertahanan di pulau, iaitu dinamakan mereka sebagai Ormus. Semenjak itu orang Parsi telah cuba memerangi penempatan-penempatan Portugis tersebut tetapi telah gagal.

Berikutnya tiba pula orang Inggeris menyertai perlumbaan dalam perdagangan di kawasan ini, mulai dalam abad ke-17. ini menimbulkan pergeseran yang nyata antara bangsa-bangsa Barat tersebut. Akhirnya orang Inggeris dapat memenangi hati orang Parsi. Berikutnya, dalam tahun 1615, iaitu semasa pemerintahan Shah Abbas I (Abbas Agung) (1587-1629) orang-orang Portugis dapat dihalau keluar dari bumi Parsi, dengan kerjasama orang-orang Inggeris.

Semenjak itu, dengan segera nama bandar Gombroon telah ditukar menjadi Bandar Abbas, bagi mengingati jasa Shah Abbas yang sangat besar itu. Bandar ini telah dimajukan dengan pesat oleh Shah Abbas, menjadi sebuah pelabuhan yang besar. Bandar Hormuz di pulau, yang telah musnah semasa perang, tidak lagi dibangunkan dan perlahan-lahan ditinggalkan. Surat menyurat East India Company dalam tahun 1624 menunjukkan sebuah kota baru telah dibina di Gombrun, berdekatan dengan kota lama milik Portugis. Pembinaan kota pertahanan tersebut telah dibina oleh kelolaan Khan of Shiraz, dengan persetujuan Shah Abbas, dengan mengambil batu-bata runtuhan bandar di Pulau Hormuz.

Seorang pedagang batu permata bangsa Perancis, iaitu Tavernier, telah mengembara sebanyak 6 kali di Laut Hindia antara tahun 1631 dan 1668, dan beliau kerap singgah di Bandar Abbas, yang masih disebutnya sebagai Gombroon, dan kadang-kadang tempat ini dinamakan olehnya sebagai Hormuz.

Pada masa itu, bandar pelabuhan Gombrun telah mendapat nafas baru dan berkembang semula, dengan nama barunya. Dalam masa yang sama, orang Inggeris telah berjaya membuka pusat dagang di sini, hingga tahun 1759.

Namun, semenjak tahun 1740, kerajaan Parsi tidak berupaya mengurus, sehingga terpaksa memajak pengurusan pelabuhan Bandar Abbas (Gombrun) kepada Raja-raja Arab dari seberang. Pada ketika Niebuhr (c. 1765) tiba, tidak ada lagi orang Barat berdagang di sana. Pemerintah kawasan ini pada masa itu ialah Mullah Ali Shah, iaitu bekas panglima perang Maharaja Nadir Shah. Semenjak tahun 1780 bandar ini telah jatuh pula ke bawah kawalan Raja Muscat. Berikutnya, dalam tahun 1868, iaitu ketika kerajaan Muscat dan Oman telah lemah, barulah bandar ini diserahkan semula kepada kerajaan Parsi.

PETA:
KEDUDUKAN NEGERI GOMRUN / GOMBROON:
(Dari K.N. Chaudhuri, 1985)

PERBINCANGAN PENUTUP:

1.    Adalah menarik untuk kita memulakan perbincangan bahawa Negeri GOMBRUN  atau GOMBROON dalam sejarah Parsi itu dapat dikaitkan  dengan asal usul Raja-Raja Kedah, seperti yang telah dinyatakan oleh Muhammad Hassan dalam At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah. Nama negeri yang diceritakan oleh Muhammad Hassan juga ialah Gomrun (di-Rumi-kan menjadi Gumarun), kelihatan tepat dan sukar untuk ditolak kaitannya dengan negeri pelabuhan dalam negeri Parsi seperti tersebut di atas.

2.    Salah satu golongan dalam masyarakat Parsi, dari kelas atasan juga dikenali sebagai ‘DABIR’ atau ‘DABIRAN’, iaitu golongan pemerintah (secretaries). Perkataan ini segera mengingatkan kita kepada keterangan Muhammad Hassan bahawa nama pemerintah Kedah paling awal, yang dikatakannya berasal dari Parsi itu, ialah Maharaja DARBAR Raja. Kemungkinan perkataan-perkataan tersebut mempunyai kaitan yang nyata.

3.    Nama lama pulau yang berhadapan dengan negeri Gomrun ialah JERUN, yang didapati juga pernah digunakan dalam cerita-cerita purba Melayu.

4.    Nama Dinasti pemerintah di kawasan pelabuhan Gomrun, yang kemudian berpindah ke Pulau Jerun (Hormuz) ialah TURAN Shah.

Sebenarnya telah lama kita mengetahui perkataan ‘TURAN’ dalam konteks sejarah negeri Kedah. Mengapakah di dalam Hikayat Merong Mahawangsa Kedah digelarkan sebagai ‘Zamin Turan’?. Sangat jelas di sini bahawa Hikayat Merong Mahawangsa juga mempunyai unsur-unsur pengaruh Parsi, seperti At-Tarikh Salasilah juga.

Dengan itu tidaklah terlalu sukar bagi kita untuk menerima kenyataan, bahawa asal mula Raja-Raja Kedah memang dari sebuah kawasan di Parsi. Jalan cerita atau keterangan dari kedua-dua sumber penting sejarah Kedah itu juga boleh dikatakan sama, iaitu sama-sama menyatakan bahawa moyang Raja-Raja Kedah berasal dari sebelah barat sana. Adalah menjadi perkara biasa pada zaman dahulu kumpulan orang berpindah ke tempat lain untuk membuka negeri baru.

Rekod sejarah menunjukkan bahawa orang Parsi pernah berpindah dan membuat penempatan baru di pantai barat India seperti di Gujerat, atau di kawasan pantai timur seperti di Madras. Malah ramai antara mereka yang meneruskan pelayaran hingga ke Sumatera dan Tanah Melayu, baik di pantai barat atau pantai timur, malah terus ke negeri China untuk membuat penempatan.

Cuma, yang menjadi sedikit kesukaran dalam konteks sejarah Kedah, ialah bagaimana hendak kita kaitkan kehadiran pemimpin baru dari Parsi ini dengan pemimpin tempatan Kedah, yang pada suatu masa boleh dikaitkan pula dengan kerajaan Langkasuka. Pada suatu masa tertentu yang belum dapat dipastikan, kerajaan Langkasuka yang mulanya berkembang dan berpusat di Pantai Timur Semenanjung telah dapat menguasai pula kawasan Pantai Barat, iaitu Kedah.

Seorang penulis tempatan yang paling awal menceritakan tentang Langkasuka ialah Sheikh Fakih Ali bin Wan Muhammad bin Sheikh Shafiuddin al-Abbasi, yang menulis kira-kira dalam tahun 1450 Masihi, atas titah Raja Patani pada masa itu.

Menurut Sheikh Faqih Ali, kekuasaan Langkasuka meliputi beberapa negeri, iaitu Kedah, Patani, Singgora, Ligor dan Jaya.   Ini bererti Langkasuka adalah sebuah kerajaan berbentuk federasi, yang meliputi seluruh Segenting Tanah Melayu, dari Pantai Barat hingga Pantai Timur. Menurutnya lagi, pusat pemerintahan Langkasuka (ibu negeri) ialah di Kedah, manakala Patani berfungsi sebagai pelabuhan besar di sebelah Pantai Timur. Dan tarikh mula wujud kerajaan Langkasuka itu kira-kira tahun 200 Masihi.  Rajanya bernama / warga ‘MAHABANGSA’ (=Mahawangsa-pen.). Maka, putera-putera dari keluarga inilah yang dihantar untuk merajai negeri-negeri naungan, seperti daerah Patani dan Ligor.

Kewujudan nama Pulau Langkawi boleh dinisbahkan kepada kerajaan Langkasuka itu dan malah boleh menjadi bukti nyata tentang ‘pemilikan’ atau kekuasaan Langkasuka di Pantai Barat Semenanjung pada suatu masa.

Maka, atas sifatnya sebagai negara federasi yang menyertai Langkasuka, nama Kedah tetap bertahan dan dikenali. Orang China mengenalinya sebagai Chieh-to, orang India sebagai Kataha, Tamil Kadaram, dan orang Arab dan Parsi sebagai Qilah. Orang Arab dan Parsi memang telah mengenali kawasan Asia Tenggara semenjak sebelum Islam lagi. Berikutnya, wujudlah kelompok-kelompok kecil masyarakat Arab dan Parsi di sini. Pada masa itu mereka belum lagi Islam. Menurut Faqih Ali, di Langkasuka terdapat masyarakat berbagai agama, termasuk Arab dan Parsi yang menyembah api, beragama Majusi (Zoroaster).

Ketika Islam telah mula dikenali di Timur Tengah, ada pula antara mereka yang telah Islam datang berdagang dan sekali gus memperkenalkan agama Islam. Semenjak itu telah mula muncul pusat-pusat kecil kegiatan agama Islam di Kedah. Perkara ini tentu sekali disedari oleh kerajaan Sriwijaya (Buddha) yang semakin berkembang.

Pada masa itu ada dua kelompok orang Arab atau Parsi yang bekunjung ke Asia Tenggara ini, sama ada yang telah Islam atau yang belum. Orang tempatan tentulah lebih mudah berasimilasi dengan kelompok bukan Islam kerana mereka sendiri pun belum mengenali Islam sama sekali.

Dalam masa yang sama tekanan perkembangan agama baru itu sedang pesat di Timur Tengah. Kemungkinan besar pada era inilah berlaku perpindahan pemimpin dari Parsi, khasnya Gomrun, ke Kedah, yang akhirnya dapat diterima menjadi pemimpin Kedah atau Qilah. Peristiwa ini berlaku dalam sekitar tahun 650-700 Masihi. Ketika itu Kedah/Qilah masih menjadi pusat federasi Langkasuka. Penerimaan rakyat melibatkan assimilasi pemimpin juga, dalam bentuk hubungan perkahwinan keluarga. Maka dari sini dapat muncul ‘dinasti’ baru, hasil dari percampuran bangsawan Parsi (golongan Dabir) dengan bangsawan tempatan Kedah (keluarga Mahawangsa).

Namun, pemimpin ini tidak mahu lagi mengaitkan mereka dengan orang Parsi atau Iran. Dengan itu mereka lebih selesa dianggap sebagai golongan Turan. Atau, memang mereka berasal dari suatu dinasti yang telah pun dikenali sebagai Turan. Perkara ini memang sukar untuk kita buktikan sekarang. Walau bagaimana pun, penerimaan rakyat tempatan terhadap mereka sebagai pemimpin utama membuatkan pengarang Hikayat Merong Mahawangsa menamakan negeri Kedah sebagai ‘Tanah orang Turan’ (Zamin Turan).

Federasi kerajaan / empayar Langkasuka yang berpusat di Kedah itu adalah lebih lemah jika dibandingkan dengan kekuasaan kerajaan Sriwijaya yang sedang berkembang pesat, yang berpusat di Sumatera. Menurut Faqih Ali lagi, empayar Langkasuka telah dapat dikuasai oleh Sriwijaya dalam tahun 750 Masihi. . Semenjak saat penguasaan Sriwijaya di Semenanjung itulah Kedah tidak lagi menjadi pusat federasi Langkasuka. Malah, semenjak saat itu juga nama Langkasuka telah berakhir di Kedah, tetapi terus pindah dan bertahan di sebelah Pantai Timur, iaitu di kawasan Patani sekarang. Pada masa itu nama kerajaan Patani masih belum wujud.

Penguasaan Sriwijaya di Semenanjung sebenarnya menghasilkan juga proses assimilasi keluarga Diraja. Menurut Faqih Ali, Maharaja Sriwijaya segera mengahwinkan puteranya dengan anak Raja Langkasuka / Kedah itu setelah mereka menguasai Semenanjung. Hasil dari perkahwinan itu lahirlah keturunan yang terus menggunakan gelaran ‘BANGSA’ (WANGSA) juga. Putera yang tua (kakak/abang) dijadikan raja di Kedah, manakala yang adik dijadikan raja di Langkasuka,  yang pada masa itu dalam proses beralih pusat ke Pantai Timur (di kawasan Patani). Proses assimilasi pemimpin baru dengan pemimpin tempatan itu juga telah dinyatakan dengan tegas dalam At-Tarikh Salasilah dan Hikayat Merong Mahawangsa.

Berikutnya, Sriwijaya telah menguasai Ligor dan kira-kira dalam tahun 775 Masihi Sriwijaya telah menjadikan Ligor sebagai pusat pemerintahannya di Semenanjung.

Kesemua raja-raja Langkasuka/Patani, Ligor, Jaya, Kedah dan Singgora itu memerintah di bawah naungan Maharaja Sriwijaya, yang mempunyai pusat pemerintahannya di Ligor. Menurut Faqih Ali, Sriwijaya menguasai Semenanjung kira-kira 500 tahun lamanya.  Kalau dikira dari tarikh mulanya Sriwijaya menguasai Semenanjung, iaitu dalam tahun 750 Masihi, maka tarikh runtuhnya kekuasaan Sriwijaya itu, menurut keterangan Sheikh Faqih Ali, ialah sekitar tahun 1250 Masihi. Ini adalah bersesuaian dengan tarikh yang dikemukakan oleh ahli sejarah terkenal, George Coedes, yang mengaitkannya dengan tarikh wujudnya kerajaan Tambralinga.

Raja Baru Basa adalah antara pemerintah terakhir Langkasuka, yang namanya mengingatkan kita kepada dinasti Kedah. Perkataan ‘Basa’ adalah sebutan ‘Bangsa’ atau ‘Wangsa’ bagi lidah orang Pantai Timur. Islam masuk agak lewat di Pantai Timur, lebih kemudian daripada Kedah, iaitu dengan terbentuknya Kesultanan Patani Darussalam.

Pada masa yang sama, cabang asal dinasti yang memerintah di Kedah terus memerintah negeri ini dengan jayanya.

5.    Peristiwa perpindahan Raja dari Gomrun ke Kedah sekarang agak jelas bagi kita. Cuma, yang menjadi masalah utama sekarang ialah penentuan tarikh perpindahan bersejarah tersebut. Peristiwa kejatuhan Kerajaan Sassan di tangan orang Arab/Islam dalam tahun 651 Masihi mungkin merupakan suatu tarikh yang penting bagi berlakunya ‘exodus’ (reflux keluar) beramai rakyat Parsi ke merata tempat pada masa itu. Kemungkinan inilah tarikh yang paling dekat untuk kita fikirkan bagi mencadangkan masa berlakunya peristiwa perpindahan pemimpin Gomrun menuju ke Tanah Melayu.

Namun, rekod sejarah menunjukkan bahawa tekanan faktor agama Islam ini tidak berapa berat. Richard Bulliet telah membuat kajian mengenai kedatangan Islam di Parsi, yang menunjukkan hanya 10% sahaja penduduk Parsi yang memeluk Islam dalam zaman Umawiyah. Pada zaman Abbasiyah, penduduk Islam di Parsi baru mencapai tahap 40% sahaja. Pada pertengahan abad ke-9 hingga 11 sahaja baru penduduk Parsi memeluk agama Islam 100%.  Ini menunjukkan tekanan agama baru ini terhadap orang Parsi tidak begitu kuat. Walau pun begitu, mereka yang belum Islam dimasukkan ke dalam golongan ‘zimmi’ yang dikenakan ‘jizyah’, iaitu cukai kepala. Ini mungkin merupakan tekanan tambahan yang menyebabkan mereka keluar mencari tempat baru.

‘Wa-l-Lahu a’lamu bi-s-sawab. Wa ilaihi-l-marji’u wa-l-maab’

Selesai: 11 Ogos, 2007.

BIBLIOGRAFI:

1.    Muhammad Hassan bin Dato Kerani Muhammad Arsyad, 1927. Attarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman, edisi Jawi, Jelutong Press, Pulau Pinang.
2.    Muhammad Hassan bin Dato Kerani Muhammad Arsyad, 1927. Attarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman, edisi Rumi, 1968, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
3.    Siti Hawa Salleh, 1970 (Penyelenggara). Hikayat Merong Mahawangsa, University of Malaya Press, Kuala Lumpur:Singapura.
4.    Chaudhuri, K.N., 1985. Trade And Civilisation In The Indian Ocean: An Economic History from the Rise of Islam to 1750, Cambridge University Press, Cambridge.
5.    Wan Mohd Saghir Wan Abdullah (Penyunting), 2000. Tarikh Fathani oleh Sheikh Faqih Ali al-Fathani (c. 1450), versi salinan oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani (1813), Penerbit Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur.
6.    Beberapa websites: seperti terdapat pada nota kaki.